apa yang ada di belakang kita dan apa yang ada di depan kita, tidaklah ada ertinya jika dibandingkan dengan apa yang ada di dalam diri kita
- Happy Sugiarto Thandra
         

Rabu, 25 April 2012

tak cukup

Antara perkara yang membatalkan syahadah ialah kufur pada nikmat Allah.
Banyak benda yang dikongsikan untuk memahami erti hidup bersama Iman Villa.
"Allah sentiasa ingat pada kita, selalu bersangka baik. Allah tahu apa yang paling cukup untuk kita. Kalau lebih, kita akan kufur nikmat."

Tahu apa perkara yang membahagiakan Imam Ahmad?
Bila bangun pagi, dia tahu tak ada makanan, itu perkara yang paling membahagiakan untuk Imam Ahmad. Bila tak ada makanan, pergantungan pada Allah sangat tinggi. Hebat bukan.

Jauh sekali saya. Merasa bahagia bila rasa cukup, dapat apa yang diimpikan. Tapi, sebenarnya bila kita tak dapat apa yang kita nak, tenang tu ada sebab kita mengharap sangat-sangat pada Allah.

Petikan dari seorang penulis,

Melihat kebahagiaan manusia lain dengan apa adanya pada diri kita itu adalah sangat bahagia. Namun pada ketika melihat kebahagiaan orang lain dengan diam-diam melihat segala kekurangan diri sendiri, itu adalah muara segala kepedihan.

"Akak, kenapa kita selalu susah?" Tanya seorang adik semasa kami berbual dalam bus.

Alhamdulillah, perkongsian subuh tadi antara jawapan terbaik.

Terima kasih Allah, memberi rasa 'cukup' dan melengkapi antara kami.

-skill menulis mcm dah hilang-

Jumaat, 20 April 2012


Jangan bersedih wahai jasad yang bernyawa, berusahalah selagi mana belum tercapai impianmu. Jangan sesekali engkau menyesali dengan takdir hari-hari semalam. Boleh jadi takdir itu melemahkanmu kini, tapi boleh jadi menguatkanmu sebentar lagi. 

Usah diukur kejayaan orang lain pada sejarah hidupmu, tapi ciptalah sejarah tersendiri, menjadikan diri muslim yang hidupnya kerana Allah. Pasti diri gagah melangkah.



Bila telah tiba saatnya, pasti Allah mudahkan. Hanya tetapkan tujuan, jitukan iman, gandakan keinginan. Melangkahlah gagah, meski payah.

Yakinlah, Allah sentiasa bersifat Maha Pemurah, Maha Mengasihani, Maha Penyayang buat hambanya. 

-sangat down-

Rabu, 18 April 2012

Petala

Assalamualaikum w.b.t



Semalam berkesempatan habiskan tonton cerita 7 petala cinta. Alang-alang adik dah beli, elok juga tengok sebab nak tau sejauh mana pandangan pembuat filem ni tentang islam. Catatan saya hanya berkisar tentang pembikinan filem ni, bukan pandangan saya pada peribadi mana-mana pihak.Siapa diri ni nak menilai iman orang lain..


Pertamanya, tahniah sebab berniat baik untuk buat filem yang menurutnya berkonsepkan islamik. InsyaAllah pasti ada ganjaran atas niat baik tu kan sebab Allah dan janji,


Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, niscaya dia akan melihat (balasan)nya.
(Al-Zalzalah 7-8)


Jika dibandingkan dengan filem-filem yang banyak sekarang ni, bukan mudah nak ambil keputusan untuk hasilkan filem islamik yang belum tentu lagi dapat pulangan lumayan.Tapi, untuk hasilkan filem yang ada unsur dakwah (penyampaian yang baik) yang mana secara tak langsung sikit sebanyak bagi pengertian tentang apa itu islam, perlukan perincian yang lebih.

Antaranya dari aspek pakaian. Pemahaman tentang aurat wanita tu perlu supaya tidak salah diertikan. Mudah, dengan rujuk pada ayat Allah


“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita…” (An-Nur : 31)


InsyaAllah penambahbaikan dari aspek aurat tentang suruhan Allah "...Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka.." saya kira perlu diberi penekanan supaya menambahkan lagi ke'izzah'an seseorang dengan agamanya bila tonton cerita ini. Dengan harapan pengarah dan semua tenaga kerja mendapat pahala yang lebih. Mana tidaknya, bekerja hingga dapat membuahkan rasa takwa orang lain, hebat bukan. InsyaAllah..


Saya berusaha faham, pihak yang membuat filem ini tentu ada alasan dan sebab tersendiri dan saya berdoa semoga Allah memberi kefahaman dengan hati kepada pihak produksi supaya ada pembaikan dimasa hadapan. =)



Dan juga pada pemerhatian saya, batas pergaulan seseorang dengan muhrimnya yang belum sah perlu ada kehalusan. Dengan konsep dan suasana yang sungguh menonjolkan kehidupan islam, saya kira cara, perlaksanaan, pergaulan antara dua orang yang bertunang agak kurang sesuai. "Assalamualaikum cinta.. assalamualaikum rindu" ???? ungkapan yang saya kira tidak sesuai untuk suasana dan kondisi dalam filem ni. Juga memakaikan kain serban diatas bahu seorang wanita yang bukan halal (bukan kondisi darurat), bukan perkara yang perlu ditonjolkan.

Bedasarkan pemahaman saya sebagai muslim yang berusaha untuk menjadi muslim yang lebih baik, saya kira ciri-ciri islam itu perlu ditonjolkan dengan cara hidup. Bukan semata-mata dengan cara pemakaian. Pemakaian yang melambangkan rasa patuh dengan apa yang Allah suruh perlu seiring dengan perbuatan yang melambangkan kesucian Islam itu sendiri. Saya kira, adalah tidak sopan seorang gadis bersama seorang lelaki duduk bersama bukan atas urusan rasmi sambil bermain cinta walaupun ditemani. Ini bukan satu doktrin yang baik, tapi ia seperti baik hanya kerana pakaiannya nampak baik. Pandangan ini hanya berdasarkan pada filem yang saya tonton, yang mana cuba menonjolkan kesempurnaan. Dan pandangan saya hanya mengharapkan supaya ia menjadi lebih sempurna.




Insiden pada kemuncak cerita ini yang tak perlu untuk dimaklumkan apakah dia, mungkin boleh ditukar dengan cara yang lebih sopan tetapi impaknya sama. Dengan harapan hati-hati yang menontonnya terjaga.


Sukar untuk mendapatkan filem islamik yang kekuatannnya bukan semata -mata tentang cinta sesama manusia. Banyak cerita-cerita yang boleh dijadikan panduan antaranya Sang Murobbi, Laskar Pelangi, Sang Pencerah dan lain-lain. Pasti ada yang mengatakan saya taksub dengan filem luar kan? Luar atau dalam bukan isunya. Tetapi isinya. Begitu juga cerita, pakaian bukan ciri utamanya, tapi cara hidupnya.


Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa tentang pendangan saya dalam post ini. Saya yang naif, menagih input yang lebih baik dengan cara yang lebih santai, maaf..