Semalam berkesempatan habiskan tonton cerita 7 petala cinta. Alang-alang adik dah beli, elok juga tengok sebab nak tau sejauh mana pandangan pembuat filem ni tentang islam. Catatan saya hanya berkisar tentang pembikinan filem ni, bukan pandangan saya pada peribadi mana-mana pihak.Siapa diri ni nak menilai iman orang lain..
Pertamanya, tahniah sebab berniat baik untuk buat filem yang menurutnya berkonsepkan islamik. InsyaAllah pasti ada ganjaran atas niat baik tu kan sebab Allah dan janji,
Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, niscaya dia akan melihat (balasan)nya.
(Al-Zalzalah 7-8)
Jika dibandingkan dengan filem-filem yang banyak sekarang ni, bukan mudah nak ambil keputusan untuk hasilkan filem islamik yang belum tentu lagi dapat pulangan lumayan.Tapi, untuk hasilkan filem yang ada unsur dakwah (penyampaian yang baik) yang mana secara tak langsung sikit sebanyak bagi pengertian tentang apa itu islam, perlukan perincian yang lebih.
InsyaAllah penambahbaikan dari aspek aurat tentang suruhan Allah "...Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka.." saya kira perlu diberi penekanan supaya menambahkan lagi ke'izzah'an seseorang dengan agamanya bila tonton cerita ini. Dengan harapan pengarah dan semua tenaga kerja mendapat pahala yang lebih. Mana tidaknya, bekerja hingga dapat membuahkan rasa takwa orang lain, hebat bukan. InsyaAllah..
Saya berusaha faham, pihak yang membuat filem ini tentu ada alasan dan sebab tersendiri dan saya berdoa semoga Allah memberi kefahaman dengan hati kepada pihak produksi supaya ada pembaikan dimasa hadapan. =)
Dan juga pada pemerhatian saya, batas pergaulan seseorang dengan muhrimnya yang belum sah perlu ada kehalusan. Dengan konsep dan suasana yang sungguh menonjolkan kehidupan islam, saya kira cara, perlaksanaan, pergaulan antara dua orang yang bertunang agak kurang sesuai. "Assalamualaikum cinta.. assalamualaikum rindu" ???? ungkapan yang saya kira tidak sesuai untuk suasana dan kondisi dalam filem ni. Juga memakaikan kain serban diatas bahu seorang wanita yang bukan halal (bukan kondisi darurat), bukan perkara yang perlu ditonjolkan.
Bedasarkan pemahaman saya sebagai muslim yang berusaha untuk menjadi muslim yang lebih baik, saya kira ciri-ciri islam itu perlu ditonjolkan dengan cara hidup. Bukan semata-mata dengan cara pemakaian. Pemakaian yang melambangkan rasa patuh dengan apa yang Allah suruh perlu seiring dengan perbuatan yang melambangkan kesucian Islam itu sendiri. Saya kira, adalah tidak sopan seorang gadis bersama seorang lelaki duduk bersama bukan atas urusan rasmi sambil bermain cinta walaupun ditemani. Ini bukan satu doktrin yang baik, tapi ia seperti baik hanya kerana pakaiannya nampak baik. Pandangan ini hanya berdasarkan pada filem yang saya tonton, yang mana cuba menonjolkan kesempurnaan. Dan pandangan saya hanya mengharapkan supaya ia menjadi lebih sempurna.
Insiden pada kemuncak cerita ini yang tak perlu untuk dimaklumkan apakah dia, mungkin boleh ditukar dengan cara yang lebih sopan tetapi impaknya sama. Dengan harapan hati-hati yang menontonnya terjaga.
Sukar untuk mendapatkan filem islamik yang kekuatannnya bukan semata -mata tentang cinta sesama manusia. Banyak cerita-cerita yang boleh dijadikan panduan antaranya Sang Murobbi, Laskar Pelangi, Sang Pencerah dan lain-lain. Pasti ada yang mengatakan saya taksub dengan filem luar kan? Luar atau dalam bukan isunya. Tetapi isinya. Begitu juga cerita, pakaian bukan ciri utamanya, tapi cara hidupnya.
Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa tentang pendangan saya dalam post ini. Saya yang naif, menagih input yang lebih baik dengan cara yang lebih santai, maaf..
well said! Tahniah, tulisan yang ringkas dan jelas akan maksudnya.
BalasPadamsetelah bertapa selama sebulan lebih kat johor =)
Padam